• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk

SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut.

Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu
Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu

"Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan.

"Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap.

Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.