• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Beruk dan Babi Boleh Ditembak, Tapi..

KUALA TERENGGANU, 29 November- Pekebun-pekebun yang menghadapi ancaman hidupan liar daripada spesies kera dan babi boleh menembak haiwan terbabit sekiranya memiliki lesen senjata api.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kera dan babi merupakan hidupan liar yang tersenarai sebagai spesis dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176), namun akta berkenaan turut membenarkan pemilik kebun atau pekerjanya yang mempunyai lesen senjata api untuk mengambil tindakan menembak sekiranya hidupan tersebut mengancam nyawa dan merosakkan harta benda.

"Tetapi, selepas tembak dilakukan mesti (wajib) lapor kepada Jabatan Perhilitan. Jadi, selepas ini tidak timbul lagi isu kera dan babi yang mengganggu tidak boleh ditembak," katanya ketika menjawab soalan daripada ADUN Air Putih,  Abd Razak Ibrahim dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Tambahnya, sebanyak 130 aduan gangguan hidupan liar diterima Perhillitan dari Januari sehingga September 2022.

"Watak utama haiwan perosak tanaman yang direkodkan ialah gajah, beruang, kera, babi hutan dan tapir. Dari tahun 2020 sehingga tahun 2022 nilai kerugian yang dicatatkan di Terengganu angkara makhluk Allah ini ialah RM2,621,130.

"Langkah-langkah yang telah diambil kerajaan ialah operasi pembasmian dengan kerjasama antara Jabatan Pertanian, Jabatan Perhilitan dan pemilik lesen senjata api setempat selain memasang perangkap kera dan babi untuk dipindah alam (dimatikan). Manakala, beruang dan tapir yang ditangkap pula akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari kawasan konflik. 

"Bagi ancaman gajah, tiga kaedah digunakan iaitu pemasangan pagar elektrik, tembak halau dan tangkap pindah," katanya.

Jelasnya, sistem pagar elektrik gajah (SPEG) telah dipasang di Kg. Lawit ke Kg. Belukar Bukit sejauh 29.5 km, Kg Pelong Setiu (35km) dan Kg Payong ke Chalok Barat (25km).

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ada empat lokasi baru akan dibangunkan SPEG iaitu Kg Ban Hoo dan Kg Air Putih di Kemaman serta Kg Gerdong dan Kg Lubuk Periuk di Hulu Terengganu.

"Bilangan gajah yang telah ditangkap pindah pula ialah sebanyak empat ekor pada tahun 2019, 2020 (6 ekor), 2021 (8 ekor) dan 2022 (3 ekor). Majoritinya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum supaya tidak berkonflik dengan manusia di habitat asal," katanya.

 

 


Tag: