• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Besut Destinasi Pelancongan Menarik Terengganu

Ariffin (dua dari kiri) cuba mengukir ukiran kayu di Desa Ukiran Kampung Raja Besut semalam. 
BESUT, 30 Ogos - Daerah Besut menjadi satu detinasi pelancongan menarik di Terengganu kerana mempunyai banyak detinasi perlu dikunjungi termasuk lata (air terjun rendah) dan kolam air panas semula jadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ustaz Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri hari ini (semalam) membuat lawatan secara rasmi ke beberapa detinasi menarik termasuk Taman Rekreasi Air Panas (La Hot Spring), Kolam Air Deru Ecopark, Hutan Lipur Lata Tembakah dan Desa Ukiran Kampung Raja.

Katanya, destinasi pelancongan itu telah menarik kehadiran berpuluh ribu pelancong domestik dan luar negeri setiap tahun.

“Ini tidak termasuk, pengunjung ke Pulau Perhentian dan lain-lain tempat di daerah Besut,” katanya ketika  ditemui Media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di La Hot Spring di sini semalam.

Untuk rekod La Hot Spring diurus sendiri oleh Majlis Daerah Besut.

Sebelum itu beliau diberi taklimat dari beberapa agensi kerajaan mengenai keperluan dan kemudahan pelancongan di daerah itu di Pejabat Tanah dan Daerah Besut di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat itu berkata, Besut juga mempunyai banyak aktiviti seni budaya termasuk wayang kulit, Dikir Barat dan seni ukiran kayu serta pertukangan besi.

Di Desa Ukiran umpamanya mempunyai 18 orang pelatih untuk seni ukiran kayu bagi dijadikan hiasan di premis kediaman dan seumpamanya.

“Seni ukiran akan ada pelapisnya di Terengganu walaupun tidak sama dengan Adi Guru (Pakar Rujuk) yang sedia ada dalam bidang seni ukir ini,” jelasnya.

Katanya, beberapa makanan dan kuih muih istimewa juga banyak dijual di daerah itu termasuk kuih tahi itik, gulai itik dan lain-lain.


Tag: