• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 3 Januari – Jabatan Pengairan Dan Saliran Kementerian Alam Sekitar Dan Air telah mengeluarkan amaran banjir di daerah besut mulai esok (4 Januari) susulan amaran hujan berterusan bahaya oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta status aras air semasa.

Menurut kenyataan rasmi tersebut, ia melibatkan lembangan Sungai Besut dan Sungai Keruak yang dijangka bakal mencetuskan banjir di Kampung Keruak, Kampung Belaoh dan kawasan rendah sekitarnya.

“Semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada. 

“Maklumat dan amaran akan disalurkan kepada agensi pengurusan bencana, media dan orang awam melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PublicinfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir,” katanya yang juga daripada Pusat Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRABN).

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal seramai 137 orang setakat jam 8 pagi ini dan kesemua mangsa daripada 42 keluarga itu ditempatkan di dua PPS di Dungun.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 3.69 meter (m) berbanding paras normal 1.4 m.