• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

Besut Mungkin Dikenakan PKP

BESUT, 5 Mei - Situasi pandemik COVID-19 besut yang menunjukkan ‘trend’ peningkatan kes secara berterusan memungkinkan daerah itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia dijangka akan diumumkan pada Jumaat ini berikutan penularan COVID-19 di hampir kesemua mukim.

Justeru itu katanya, penduduk diminta bersabar bagi menghadapi kemungkinan PKP sekali lagi dari 7 hingga 21 Mei menerusi pengumuman rasmi yang bakal dibuat. 

"Laluan tikus yang banyak di sempadan Besut-Kelantan menyukarkan lagi pengawalan, walaupun 16 lorong tikus ditutup tetapi wujud 20 lagi laluan haram baharu.

“Maka, demi untuk mengawal penularan wabak, kita tiada justifikasi dan hujah yang kuat lagi untuk mempertahankan agar tidak diadakan PKP di seluruh Besut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

Tambahnya, sehingga hari ini sebanyak tujuh kematian direkodkan di daerah berkenaan di samping empat pesakit yang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, tiga bazar Ramadan dikenal pasti terlibat dalam penularan COVID-19 diikuti sebuah bank dan beberapa fasiliti kesihatan.

Berdasarkan infografik di Facebook Jabatan Kesihatan negeri, sebanyak 176 kes COVID-19 direkodkan di Besut sehingga semalam dengan enam daripada keseluruhan lapan kluster membabitkan daerah berkenaan.