• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Besut Tertakluk Kepada SOP PKPD

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Seluruh daerah Besut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Am Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Besut yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara bermula pada 22 Mei lalu sehingga 4 Jun nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Besut (JPBD), Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, makluman itu dibuat selepas terdapat kekeliruan dalam kalangan orang awam khususnya berkenaan SOP yang digunapakai dan dikuatkuasakan di daerah itu.

“Ini adalah lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan pada hari ini berkenaan 17 senarai perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi, ramai yang terkeliru.

“Untuk makluman, daerah Besut masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Daerah Besut yang melibatkan 15 Mukim. Oleh yang demikian JPBD ingin memaklumkan bahawa seluruh daerah Besut adalah tertakluk kepada SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” jelasnya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

Dalam perkembangan sama, beliau mengharapkan agar seluruh rakyat sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Untuk rekod, selain Besut, Kuala Terengganu dan mukim Kuala Berang turut dikenakan PKPD.


Tag: