• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Biar Ternakan Berkeliaran, Kompaun Lebih RM27 Ribu

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Sebanyak RM27,861 kompaun telah dikenakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pemilik yang membiarkan ternakan berkeliaran bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata kutipan itu melibatkan 97 operasi tangkapan di seluruh negeri.

“Kita berjaya menangkap sebanyak 81 ekor yang melibatkan lembu, kambing, biri-biri dan kerbau dengan kerjasama banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Sementara itu, beliau juga berkata bagi menangani masalah ternakan berkeliaran, PBT serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) turut mengambil langkah membuat hebahan melalui kain rentang di kawasan yang sering mendapat aduan.

Katanya, PBT mendapat kerjasama dengan pihak Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi menjalankan operasi sepanjang lebuhraya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“PBT juga menjalankan pemantauan secara berkala termasuk operasi bersepadu yang melibatkan jabatan seperti Polis Diraja Malaysia ( PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Selain itu, PBT turut menaikkan kadar penebusan bagi haiwan berkeliaran yang berjaya ditangkap kepada pemiliknya,”ujar beliau.