• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Bidikan' Anak Terengganu Menang Pertandingan Fotografi Antarabangsa

KUALA NERUS, 2 Julai - Sekadar mencuba nasib dengan mempertaruhkan sekeping foto bertajuk 'Hijab Girl', seorang jurugambar sambilan dari Terengganu memenangi tempat pertama bagi kategori potrait dalam pertandingan fotografi, The VII Jalón Ángel International Photography anjuran San Jorge University di Sepanyol. 

Wan Mohd Fadzli Wan Samsudin, 39, dari Kampung Gong Datok, berkata beliau sendiri tidak menjangkakan kemenangan tersebut kerana persaingan sengit dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

Bidikan 'emas' beliau telah berjaya menewaskan 2,300 peserta dari 94 negara lain termasuklah Sepanyol, Rusia, Iran, Perancis, India, Bangladesh, Argentina, Mexico, Colombia, Itali dan lain-lain.

"Foto yang dihantar memaparkan sekumpulan gadis berhijab dari Maahad Darul Quran Rusila yang dirakam pada awal 2019 rupanya berjaya menambat hati juri. 

"Gambar ini dipilih kerana ia memiliki identiti kita sebagai orang Islam dan saya ingin mengetengahkannya," katanya.

Wan Mohd Fadzli yang merupakan pereka grafik di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, gambar itu juga mempunyai nilai tersendiri apabila terpaksa menunggu setengah jam untuk dapatkan waktu yang tepat untuk merakam gambar tersebut secara spontan. 

Sementara itu, berdasarkan komen juri, foto milik Wan Mohd Fadzli menjadi pilihan juri kerana memiliki komposisi, kontra hitam dan putih serta menampilkan suasana yang disifatkan sebagai baharu dan masih asing dalam kalangan masyarakat di sana.

Keputusan tersebut melayakkannya menerima hadiah wang tunai €1000 (RM4,921), trofi (arca edisi terhad oleh artis Jesús García) dan sijil yang diumumkan Rabu lalu. 

Pengajar sambilan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi subjek kokurikulum fotografi itu juga pernah memenangi tempat pertama dalam FaveKad Malaysia Patriotism Photography Contest (2018), Top 10 Finalist of Photo-Creator of the Year 2016 di Kuala Lumpur Photography Festival (KLPF) serta Top 50 di dalam IAMM International Photography Competition pada 2017.