• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bilal Masjid Putih Juara Tilawah Al-Quran Terengganu

MARANG, 3 Mac – Bilal Masjid Abidin (Masjid Negeri), Abdul Hadi Che Abdul Halim, 30 dari Kuala Terengganu dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu di sini.

Manakala, Johan Qariah pula disandang oleh Nor Hidayah Abd Rahman, 32 yang berasal daripada daerah Setiu.

Pada majlis yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang itu, Abdul Hadi memperoleh markah 89.2 peratus manakala Nor Hidayah meraih 88.6 peratus.

Sekali gus, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala dan sijil penyertaan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada semua pemenang di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Marang, di sini semalam.

Turut berkenan berangkat, Permaisuri Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

Abdul Hadi berkata, sepanjang menyertai tilawah peringkat negeri Terengganu bermula daripada 2016, beliau telah menjadi Johan tiga kali dan naib johan tiga kali.

"Kunci kejayaan sentiasa menunaikan segala tuntutan dalam Al-Quran itu sendiri dari sudut jaga sebutan huruf, walaupun berlagu namun tidak pinggir akan tuntutan lain seperti tajwid dan sebagainya," katanya.

Di samping, sentiasa mengambil pengalaman dengan menyertai setiap pertandingan Al-Quran yang diadakan di negeri ini.

Selain itu, tidak malu untuk membaca Al-Quran dengan berlagu sepertimana di Mesir yang menjadikan tilawah itu sebagai hiburan di setiap tempat dan menjadikan budaya mereka.

“Penganjuran Tilawah ini sangat baik kerana dapat menarik minat orang ramai terhadap kesenian tilawah sekali gus dapat mendekatkan diri masyarakat dengan Al-Quran serta menjadi ikutan," ujarnya.

 

 

 


Tag: