• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bilangan Jemaah Solat Jumaat Masih Rendah

KUALA TERENGGANU, 22 Februari –  Bilangan jemaah solat Jumaat masih menunjukkan trend yang rendah walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dilonggarkan pihak kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menyatakan kerisauan berhubung perkara itu.

“Apabila kita nilai balik SOP sewaktu awal pandemik membuatkan masyarakat kita tidak rasa bersalah jika meninggalkan ibadah solat Jumaat.

“Arahan mengehadkan bilangan Jemaah ke masjid sebelum ini membuatkan bilangan jemaah masih berkurang hingga kini walaupun arahan tersebut sudah dilonggarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ‘Street Dakwah’ yang diadakan di beberapa pasar raya sekitar Kuala Terengganu bersempena Program Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS), semalam. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengatasi isu itu pihaknya akan turun bersama Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) serta pihak lain bagi mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil ringan tentang solat Jumaat.

“Jadi kita cuba fokuskan sasaran dakwah kita kepada orang lelaki akan kewajipan ini termasuk turun ke tempat tumpuan umum seperti di pantai dan lain-lain,” tambah beliau.

Terdahulu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap kehadiran dan sikap segelintir jemaah lelaki ke masjid, terutama pada hari Jumaat. 

Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), masjid turut diarahkan menyediakan kanopi yang mencukupi serta memanfaatkan segenap ruang solat di masjid.


Tag: