• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Bina 300 Unit Rumah Baharu Untuk Nelayan



Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membina 300 unit rumah baharu kepada nelayan di Terengganu yang melibatkan kos kira-kira RM13 juta.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sudah menyerahkan permohonan kepada LKIM untuk membangunkan 20 unit rumah yang bernilai RM40,000 seunit di setiap 15 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika permohonan ini diterima, kita laksanakannya secepat yang boleh di mana segala infra dan tanah  akan ditanggung oleh kerajaan negeri, manakala pembinaan rumah pula oleh LKIM.

“Ini secara tidak langsung kita dapat membantu nelayan yang belum lagi memiliki rumah serta tidak memiliki tanah sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Nelayan Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Teluk Ketapang, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), N. Hashim Ab. Rahman.

Tag: