• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bina Baru Surau Terbiar Sejak Lebih 14 Tahun Lalu

KEMAMAN, 4 November - Surau Kampung Pengkalan Pandan yang telah terbiar sejak lebih 14 tahun lalu kini telah dibina baharu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Pandan, Mohd Sharidin Abd Aziz, 50, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, para dermawan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan surau ini.

"Kami pada asalnya melihat kewujudan kembali surau ini amat diperlukan kerana menjadi kawasan tumpuan bagi penduduk kampung, para pemancing di jeti dan pelanggan restoran yang berhampiran dengan kawasan surau ini.

"Kami bertemu dengan ADUN Cukai, Hanafiah Mat bagi membincangkan perkara ini dan mendapat respon yang positif daripadanya. Kami hanya mencadangkan untuk baik pulih kembali surau berkenaan, namun beliau (Hanafiah) inginkan surau itu dibina baharu sepenuhnya," ujarnya.

Beliau berkata lagi, dengan bantuan Hanafiah yang mendapatkan sebahagian peruntukan serta sumbangan daripada orang ramai, kini pembinaan surau ini hampir siap sepenuhnya.

"Kerja-kerja pembinaan ini bermula sejak bulan Jun yang lalu dan dijangka siap pada pertengahan bulan ini (November) insya-Allah. Manakala struktur surau ini yang dulunya diperbuat daripada kayu, kini diganti sepenuhnya dengan batu," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.

Pembinaan Surau Kampung Pengkalan Pandan yang baharu ini melibatkan kos sebanyak RM60,000.00. 

 

 


Tag: