• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

Bina Infrastruktur Bantu Golongan Bekerja Sendiri

KUALA TERENGGANU, 29 November -Kerajaan negeri disaran menyediakan lebih banyak infrastruktur kecil bagi golongan yang bekerja sendiri di Terengganu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata sebagaimana kerajaan menyediakan infrastruktur yang cukup bagi penjawat awam, mereka yang bekerja sendiri juga perlu disantuni.

Katanya, jasa mereka yang terdiri daripada pekerja buruh, petani, penternak, nelayan, bekerja sendiri dan lain-lain lagi kepada rantaian keperluan masyarakat madani cukup besar.

"Andai petani tidak bercucuk tanam, mungkin krisis bekalan beras lebih kritikal. Andai nelayan tak turun kelaut mana mungkin kita akan menikmati hidangan ikan yang lazat. Andai penternak berhenti memelihara, mungkin Ketika itu baru kita menyedari betapa perlunya mereka.

"Justeru itu, mereka semua adalah tenaga penting dibawah teras 1 rakyat yang perlu disantuni bagi mengiktiraf jasa mereka dalam memaju dan membangunkan ekonomi setempat dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan enakmen perbekalan 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini.

Katanya, pembinaan infrastruktur besar perlu dilaksanakan oleh kerajaan tetapi sebagai kerajaan yang prihatin dan berjiwa rakyat, adalah dicadangkan perbanyakan juga pembinaan infra kecil yang melibatkan kumpulan kecil perlu diadakan secara gotong royong.

"Dalam erti kata bahan binaan oleh kerajaan dan kaedah membinanya secara gotong royong...nampak kecil tapi inilah namanya rakyat disantuni," ujar beliau.