• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Bina Institusi Kekeluargaan Berteraskan Islam


Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 18 Ogos- Kerajaan negeri mewujudkan perkahwinan perdana bagi memudahkan rakyat negeri ini membina institusi kekeluargaan berteraskan Islam sekaligus mengelakkan terjebak dengan maksiat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, ianya juga merupakan salah satu usaha kerajaan negeri memadamkan propaganda barat yang mengalakkan kelahiran anak luar nikah.

“Kita wujudkan manifesto ini untuk mengelakkan unsur negatif seperti penzinaan, LGBT, dan juga hidup tanpa perkahwinan yang menyerupai kehidupan di barat.

“Lebih menggerunkan lagi ada yang sanggup bertukar-tukar pasangan yang boleh menghancurkan institusi kekeluargaan. Siang hari bersama dengan pasangan ini dan malam hari bersama pasangan ini, dan ia terang bertentangan dengan ajaran Islam,”ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Walimatulurus Perdana Daerah Dungun Tahun 2019 di Dewan Arena Merdeka, Dungun semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menyeru kepada masyarakat agar memainkan peranan dalam mengajak seluruh warga Terengganu bagi menjayakan manifesto kerajaan negeri ini agar tidak terjebak dengan budaya barat.

“Pasangan yang menyertai program ini merupakan antara orang yang kita letakkan sebagai contoh ikutan dan harapan untuk mempromosikan serta menggalakan orang awam bagi membentuk keluarga muslim yang sebenar berlandaskan Islam,” ujarnya.


Program Walimatulurus Perdana yang diadakan setiap tahun di Dungun ini berjaya menarik seramai 41 pasangan dan paling ramai antara Dewan Undangan Negeri (DUN) lain.

“Terima kasih dan tahniah kepada semua agensi terlibat, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), yang beri kerjasama serta yang bertungkus lumus menjayakan program ini dan semoga kita mendapat rahmat daripada Allah,” katanya.

Tag: