• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

BN Terengganu Jangka Menang Besar

Wan Abdul Hakim
UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi mempertahankan dan mengukuhkan lagi kerajaan sedia ada.

 Ketua Penerangan UMNO negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, BN dijangka akan  meraih sekurang-kurangnya 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam daripada lapan kerusi Parlimen berdasarkan senario semasa dan bersandarkan gerak kerja parti selain  kaji selidik oleh pelbagai pihak.

Pun begitu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih mengingatkan supaya semua ahli parti tidak perlu begitu yakin dan meletakkan mereka dalam zon selesa malah perlu bekerja lebih keras bagi meraih kejayaan itu.

“Saya yakin kita berada di landasan yang betul dan hasil daripada kerja kuat oleh semua jentera kita selama ini, dengan permuafakatan yang terjalin, kita sudah bersedia menghadapi pilihan raya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Taklimat Kesiapsiagaan PRU-14 UMNO Bahagian Kemaman , malam semalam yang disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Seri Ahmad Said.

Menurut Wan Abdul Hakim, dengan kewujudan dua parti baharu yang bakal bertanding, Pas tetap saingan utama UMNO dan BN, bukannya PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dianggap tidak mempunyai pengaruh.

Sementara itu, Ahmad dalam ucapannya berharap BN dapat menguasai  semula kesemua kerusi di Kemaman dan DUN Cukai yang terlepas kepada Pas pada PRU13 dapat ditawan kembali, sekali gus membantu menyumbang kemenangan lebih besar di peringkat negeri.

Beliau mengingatkan biarpun laporan-laporan menunjukkan kemenangan lebih berpihak kepada BN di negeri ini, namun keyakinan itu perlu ada batasnya dengan menjadikan peristiwa 1999 sebagai contoh apabila tampuk pemerintahan jatuh kepada Pas.
“Kita pernah kalah hampir semua DUN kecuali Kemasik dalam Parlimen Kemaman pada tahun 1999 sedangkan semua beranggapan Kemaman adalah benteng kekuatan UMNO negeri,” ujarnya.

Sumber : Utusan Online

Tag: