• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Benarkan Solat Jumaat Di Masjid Bermula Esok

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Umat Islam di Terengganu dibenarkan untuk melakukan solat jemaah dan solat Jumaat berkuat kuasa hari ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun, menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), bilangan yang dibenarkan solat fardhu di masjid dan surau hanya seramai 12 orang.

Perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Solat fardhu di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan seramai 12 orang.

"Solat Jumaat di masjid juga dibenarkan dengan bilangan jemaah seramai 40 orang. Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), solat Jumaat dan solat jemaah adalah tidak dibenarkan," ujarnya.

Tambahnya, mana-mana masjid dan surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.


Tag: