• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Bomba Bantu Bekalkan Air Ke Kawasan Terjejas

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dengan penghantaran empat jentera tangki air berkapasiti 20,000 liter setiap satu ke kawasan yang berdepan krisis air bagi membantu penduduk terjejas.

Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, operasi itu ialah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JBPM untuk masyarakat yang memerlukan bagi meringankan beban penduduk berikutan masalah ketiadaan air yang berlarutan sejak Isnin lalu.

"Sehingga ke hari ini iaitu hari keenam, lebih 700,000 liter air telah diagihkan untuk kegunaan penduduk di kawasan berkenaan dan misi kemanusiaan ini telah digerakkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Kuala Nerus.

"Turut terlibat dalam misi bantuan ini termasuk BBP Kuala Berang; BBP Marang dan BBP Jertih yang masing-masing menghantar sebuah bantuan jentera tangki air," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Terdahulu,  gangguan bekalan air melibatkan 28,700 akaun di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin akibat paip di dasar Sungai Terengganu pecah.

Ia melibatkan 25 kawasan di Kuala Nerus iaitu keseluruhan Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sungai Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuruh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa dan Alor Damak.

Turut terlibat Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Bukit Sudu, Pagar Besi, Padang Nenas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi.