• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Bomba Sanitasi Taska Permata Keluarga Batu Burok

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu selesai melakukan operasi sanitasi atau nyah cemar di Taska Permata Keluarga Batu Burok, disini, hari ini.
Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, sanitasi tersebut dilakukan berikutan maklumat yang diterima ada kontak kepada kontak rapat pesakit COVID-19 berurusan di taska itu.


Katanya, langkah tersebut bagi memastikan 43 kakitangan dan 268 kanak-kanak di pusat jagaan bawah kelolaan YPKT itu kembali ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berkenaan dalam keadaan selesa dan selamat selain tidak bimbang penularan wabak COVID-19.

"Dengan kerjasama bomba, kita berjaya jalankan sanitasi untuk taska ini sebelum kita buat pembukaan balik esok hari.

"Dalam operasi ini, lapan anggota bomba membantu melakukan kerja nyah kuman di tiga bangunan utama dengan mengambil kira aspek keselamatan dan langkah pencegahan awal untuk mengelak pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas proses sanitasi taska terbabit.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Nazri Yusoff.

Katanya, YPKT terpaksa membuat penutupan sementara terhadap 17 buah daripada keseluruhan 68 taska dibawah kendaliannya sebagai langkah drastik dan ketat bagi membendung penularan wabak tersebut.

“Kita ucapkan terima kasih kepada pihak bomba atas kerjasama ini, untuk esok hari kita akan buka sebanyak 12 buah yang mana secara puratanya taska ditutup sementara selama seminggu mulai 7 Oktober lalu,” ujarnya.