• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bonda Sultan Terengganu Mangkat

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Bonda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Paduka Bonda Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Assegoff Abdillah telah kembali ke rahmatullah, awal pagi hari ini.

Paduka Bonda YTM Tengku Besar Terengganu, 84 tahun, diberitakan mangkat pada jam 3.17 pagi di Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarhamah YTM Tengku Besar Terengganu dibawa pulang ke Terengganu dan tiba pada kira-kira jam 2.45 petang dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketibaan jenazah disambut DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka Anakanda.

Jenazah kemudian diiringi ke Istana Al-Muktafi Billah Shah Batu Buruk untuk disemayamkan bagi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah dengan van jenazah.

Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron mengimamkan solat jenazah YTM Tengku Besar Terengganu selepas solat Asar.

Pada jam 5.00 petang, Allahyarhamah YTM Tengku Besar Terengganu dimakamkan di Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Sultan Mizan berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda serta kerabat DiRaja.

KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman.

Bacaan talkin diimamkan Mufti Terengganu sehingga selesai istiadat permakaman pada jam 6.10 petang.

Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah berangkat pulang dari Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah kira-kira 6.19 petang.

 

 

 


Tag: