• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bonus Menanti Terengganu FC

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Kerajaan negeri akan memberikan bonus dalam bentuk kewangan kepada skuad Terengganu FC (TFC) yang layak ke final Piala FA 2022.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Skuad TFC mengesahkan slot ke pentas final apabila menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Ahmad Samsuri berkata, memandangkan bola sepak merupakan sukan nombor satu di Malaysia dan Terengganu sendiri, sudah tentu kerajaan negeri ingin memberikan imbuhan kepada perjuangan pemain untuk mencapai kemenangan.

“Sebenarnya dalam motivasi saya kepada pemain sebelum perlawanan malam tadi, saya ada maklum, mereka akan menerima ganjaran sekiranya dapat mara ke perlawanan akhir.

“Dan ternyata mereka berjaya menempah tiket ke akhir jadi ini merupakan sejarah juga untuk kita di Terengganu ini dan memang ada ganjarannya dan saya telah nyatakan kepada mereka,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis tersebut.

Ahmad Samsuri (tengah) hadir menyaksikan kejayaan skuad Terengganu semalam.

Katanya, skuad Penyu itu juga bakal menerima insentif sekiranya berjaya menjuarai Piala FA dalam menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas akhir.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah buat pemain TFC dan mengharapkan pemain tidak mensia-siakan harapan semua pihak untuk mencipta sejarah dan kemenangan.