• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Bonus Menanti TFC Jika Juara Piala FA

KUALA NERUS, 8 September – Kerajaan negeri akan memberikan ganjaran buat Terengganu Football Club (TFC)  sekiranya berjaya menjadi juara Piala FA tahun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bonus itu sebagai suntikan semangat buat TFC menjelang aksi Perlawanan Akhir berdepan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu ini.

“Saya percaya semangat pemain kita (Terengganu FC) dalam keadaan baik bagi menghadapi perlawanan akhir menentang JDT nanti.

“Bagi menyuntik lagi semangat itu, kerajaan akan memberikan insentif sekiranya pasukan kita berjaya membawa pulang Piala FA ke negeri ini,” katanya ketika mengiringi dan memberi semangat buat pemain sebelum berlepas ke ibu negara di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Sultan Mizan (LTSM), Gong Badak, di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berharap para penyokong tidak bertindak agresif walau apa keputusan nanti.

“ Saya berharap apa jua keputusan kelak, semua (penyokong) bertindak dengan penuh tatatertib kerana hakikat sebenar bola sepak ini adalah sukan yang menyatukan,” ujarnya.

Terengganu FC berjaya melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Selangor FC dalam penentuan penalti menjadikan episod memenangi piala itu 11 tahun lalu mampu berulang.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September bagi meraikan semangat penyokong yang bakal memenuhi Stadium Nasional bukit Jalil (SNBJ).

 


Tag: