• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Bot Karam, Tiga Nelayan Hilang Sumber Pendapatan

KEMAMAN, 10 Disember - Tiga nelayan di Chukai di sini hilang sumber pendapatan selepas bot mereka karam dalam sekelip mata.

Juragan bot, Rozak Mohd, 64, berkata mereka sebelum ini bergantung pada pekerjaan itu bagi menyara keluarga.

Namun kini katanya, ia memberi beban kerana mereka tidak lagi dapat turun ke laut bagi mencari rezeki.

"Kami bertiga mempunyai tanggungan sendiri. Kami tiada duit untuk menampung perbelanjaan untuk keluarga.

"Tambahan pula musim begini, bulan Januari nanti pula anak-anak akan ke sekolah, sudah tentu ia memerlukan kewangan yang secukupnya untuk itu," ujarnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai.

Rozak yang tinggal di Kampung Paya Berenjut mengharapkan agar ada jalan atau bentuk bantuan daripada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban yang sedang mereka hadapi

Dalam kejadian pada 29 November lalu itu, Rozak bagaimanapun berkata dia bersama dua lagi rakannya Hamzah Bakar, 67, dan Mohd Rodi Ibrahim, 51 terselamat.

"Kejadian malang itu berlaku pada jam 9.40 pagi ketika kami sedang leka mencari rezeki.

"Kejadian berlaku sekelip mata, kami tidak sempat berbuat apa-apa. Ketika itu kami memakai jaket keselamatan mengambil keputusan terjun ke laut.

"Setengah jam menunggu akhirnya kami diselamatkan oleh bot nelayan lain yang lalu di kawasan itu," jelasnya.

Bot dinaiki mereka dikatakan tenggelam di Laut Kepala Geliga yang dianggarkan sejauh dua batu nautika daripada darat.