• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bot Penambang Solar Kejutan Baru Pengunjung ke Payang Walk

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Bot penambang solar bakal meningkatkan jumlah pengunjung dan pelancong untuk datang ke destinasi Payang Walk Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) akan mengaktifkan semula perkhidmatan bot penambang.

Katanya, bot penambang akan dinaiktaraf menggunakan tenaga solar.

"Bot tersebut bakal menelusuri sungai Terengganu pada waktu malam sempena Program Payang Walk dalam tempoh terdekat.

"Inisiatif itu dijangka mampu meningkatkan jumlah pelancong tempatan dan luar negara," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pertama sebagai exco Kerajaan Negeri pada Program Payang Walk, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif dan Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria.

Tambah Razali, usaha itu perlu dilakukan memandangkan peningkatkan pengunjung ke Payang Walk semakin meningkat pada setiap minggu.

"Pada minggu pertama mencatatkan rekod jualan lebih RM57,000 dan pada minggu seterusnya mencatat hasil RM100,000," ujarnya.

Untuk rekod, Payang Walk merupakan program mingguan yang diadakan pada setiap hari jumaat bertempat di pesisir muara Sungai Terengganu berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.

 


Tag: