• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Boustead Plantations Agih Zakat RM3.2 Juta Kepada Asnaf

KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Buat julung kalinya, Boustead Plantations Berhad (BPB) membayar zakat perniagaan bagi tahun 2021 sebanyak RM3,217,153 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk diagihkan kepada asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Zainal Abidin Shariff berkata, sebagai sebuah syarikat perladangan yang cakna terhadap tanggungjawab sosial, BPB akan sentiasa memastikan kewajipan zakat perniagaan dilunaskan bagi membantu orang tidak bernasib baik.

“Atas tujuan itu, BPB komited menunaikan kewajipan zakat bagi memastikan tiada seorang pun yang ketinggalan di kala negara kita bergerak ke arah fasa pemulihan berikutan pandemik Covid-19.

“Sejajar dengan itu, buat permulaan BPB telah menyerahkan pembayaran zakat perniagaan pertamanya bagi FY2021 berjumlah RM270,000 kepada (MAIDAM),” katanya selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Pejabat MAIDAM kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin.
 
Dalam perkembangan berkaitan Zainal Abidin berkata, BPB juga memberikan komitmen untuk menyokong usaha Kerajaan dalam pelan-pelan pemulihan di seluruh negara sejak bermulanya ancaman Covid-19 awal 2020 lalu. 

“Selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diketengahkan kerajaan, BPB akan terus memberikan bantuan bagi meredakan beban cabaran sosioekonomi akibat daripada pandemik tersebut.

“Ini adalah sebahagian daripada dedikasi kami dalam menjunjung amalan terbaik Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

“Melalui operasi perniagaan BPB, kami memikul tanggungjawab sosial bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan berusaha untuk membasmi kemiskinan dan kelaparan serta membantu memenuhi keperluan asas kumpulan yang kurang bernasib baik,” kata beliau.


Tag: