• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Buat Aduan, Jika Harga Melampau

KUALA NERUS, 23 Disember - Orang ramai digesa melaporkan kepada pihak berautoriti jika barangan dijual dengan harga yang melampau dan tidak berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pihaknya mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan harga barangan di pasaran tetap stabil walaupun dalam tempoh sambutan Hari Krismas tahun ini.

Katanya, langkah itu dibuat dengan mengenal pasti 15 jenis barangan untuk ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2021.

"Antaranya untuk sekilogram (kg) ayam RM9.30, telur gred A (RM0.44 sebiji), cili merah (RM17.00), tomato (RM5.50), sawi hijau (RM7.00) dan daging kambing biri-biri import bertulang perlu dijual RM32/kg," katanya kepada media selepas membuat tinjauan di Pasar Raya Mydin hari ini.

Katanya lagi, walaupun perayaan Krismas tahun ini masih dalam tempoh pandemik Covid-19, SHMMP masih wajar dilaksanakan.

“Ini ekoran permintaan orang ramai terhadap barangan keperluan harian yang dijangka akan mengalami peningkatan dalam tempoh perayaan ini berbanding tempoh lain,” katanya.

Justeru beliau sekali lagi menegaskan kepada orang ramai agar membuat laporan segera kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya rasa curiga dengan harga jualan.

“Pihak itu ada pasukan khas untuk mengambil tindakan mengikut akta tertentu sama ada apa yang dijual itu mengikut harga pasaran atau sebaliknya.

“Walaupun sudah dicatatkan pada papan kenyataan atau buku menu, KPDNHEP tetap boleh mengenakan tindakan sekiranya sahih apa yang dijual harga melampau," katanya.