• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Buat Kajian, Pilih Calon Terbaik- Ariffin

MARANG, 30 Julai- Rakyat Terengganu dinasihatkan membuat pilihan bijak memilih calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, 12 Ogos nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, setiap satu undi mereka penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat Terengganu perlu memilih calon yang terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin dengan membuat kajian terlebih dahulu.

“Jangan terima bulat-bulat apa yang dijanjikan oleh calon yang bertanding di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kaji dulu, buat kajian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi DUN Alur Limbat, di Kolej Al-Quran Terengganu, semalam.

Terdahulu, Ariffin yang juga calon PAS Alur Limbat berkata, beliau bersyukur proses penamaan calon di DUN tersebut lancar tanpa sebarang provokasi daripada penyokong PAS dan Barisan Nasional (BN).

“Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana proses penamaan calon berjalan dengan baik. Peringkat awal kiranya sudah selesai, maknanya DUN Alur Limbat hanya dua calon bakal bertanding iaitu saya mewakili PAS dan Yuseri Isa (BN).

“Saya mengharapkan proses kempen juga dapat berjalan dengan baik. Kita yakin dapat mempertahankan DUN Alur Limbat untuk penggal kali ini,” ujarnya.