• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Buaya Seberat 70 Kilogram diserahkan kepada PERHILITAN

KUALA NERUS, 4 Oktober- Buaya sepanjang 2.3 meter yang ditangkap di Sungai Kampung Ladang Sentosa, Tepoh, semalam selamat diserahkan kepada pihak PERHILITAN untuk tindakan lanjut.

Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menjelaskan, buaya sebarat hampir 70 kilogram itu merupakan tangkapan terbesar pertama APM Terengganu dalam tempoh tiga tahun.

"Reptilia ini diperolehi APM Kuala Nerus hasil bantuan orang ramai.

"Alhamdulillah, kita telah serahkan kepada PERHILITAN bagi melestarikan haiwan ini ke habitat asalnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan buaya berkenaan kepada PERHILITAN di pejabat APM Kuala Nerus, hari ini.

Jelasnya, perubahan cuaca akibat peralihan monsun menyebabkan banyak haiwan terutamanya binatang menjalar keluar dan mencari kawasan baru kerana habitatnya terganggu.

"Orang awam yang mengunjungi tempat rekreasi dalam musim peralihan monsun ini perlu lebih berhati-hati. 

Pada awal November, kita dijangka akan mengalami monsun timur laut di mana perubahan cuaca agak drastik," katanya.

Tambah Che Adam, pihak APM sentiasa menguar-uarkan kepada orang ramai, jika ada haiwan berbisa dan liar supaya menghubungi APM untuk tindakan.

"Peranan komuniti penting tetapi jika tidak mempunyai peralatan dan pengalaman, lebih baik menghubungi APM untuk bantuan," katanya.

 

 

 

 


Tag: