• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Bubar DUN Bila Tiba Masa'

KUALA TERENGGANU, 6 Disember- Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pihaknya akan memaklumkan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu apabila tiba masanya.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan ianya akan dilakukan sebelum tempoh penggal berakhir bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“PRN akan dilaksanakan bila bubarnya DUN, bila sampai waktu dan ketika saya akan maklum.

“Itu belum tentu lagi selepas atau belum raya, sebelum berakhir tempoh InsyaAllah kita bubarlah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan momentum sokongan rakyat yang dilihat berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) ketika ini menjadi waktu terbaik kepada gabungan itu membubarkan DUN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan pihak lain berkaitan tarikh PRN sebelum membuat keputusan muktamad.

"Kita terima itu sebagai satu cadangan termasuk cadangan-cadangan lain daripada orang lain untuk kita pertimbangkan mana yang paling sesuai," katanya.

Tambah beliau, perbincangan tidak rasmi juga telah diadakan bersama dengan Menteri Besar dari negeri yang belum mengadakan PRN dan pihaknya akan mencari ruang dalam waktu yang sama bagi melakukan pembubaran supaya PRN dapat diadakan serentak.

“Samada kita adakan perbincangan rasmi atau tidak, objektifnya sama iaitu kita akan cuba cari ruang supaya waktu yang sama pembubaran itu,” ujarnya.