• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada hari Selasa (esok) bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau  berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun ini.

“Saya telah mendapat perkenan Tuanku untuk menghadap pagi esok pada jam 9 pagi di Istana Syarqiyyah, Chendering.

“Mengenai (tarikh pembubaran DUN), saya rasa lebih baik saya sembah maklum dulu kepada Tuanku, (jika tarikh itu dipersetujui), kemudian kita akan umum selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ditanya tentang agihan kerusi, Ahmad Samsuri berkata bagi pihak PAS, ianya telah selesai dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS untuk diuruskan.

Selain Terengganu, PRN juga akan diadakan di Selangor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 kerusi manakala BN memenangi 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.