• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

“Bubur Lambuk, Kita Akan Buat Lagi” - Ustaz Ridzuan Hashim

KUALA NERUS, 25 April - “Alhamdulillah, kita akan buat lagi program agihan bubur lambuk ini kerana sambutan yang sangat menggalakkan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim selepas menyelesaikan agihan bubur lambuk secara pandu lalu di hadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, Khamis lalu.

Katanya, ada di kalangan pengguna jalan raya sengaja menggunakan jalan raya pada waktu agihan tersebut, malah ada yang sanggup pusing semula kerana terlepas, semata-mata untuk mendapatkan bubur lambuk.

“Bubur lambuk merupakan juadah yang wajib disediakan dalam bulan Ramadan dan sukar didapati pada bulan-bulan yang lain.

"Itulah yang menjadikannya eksklusif dan perlu dicari dalam bulan Ramadan ini,” ujar beliau lagi.

Ridzuan juga memaklumkan, sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk berjaya disediakan untuk program tersebut.

Turut serta dalam agihan itu, Isteri ADUN Buluh Gading, Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Petai Bubus.

“Terima kasih kepada semua staf pejabat dan Skuad Muslimat DUN Buluh Gading kerana bertungkus lumus menyediakan bubur lambuk ini.

"Insya-Allah, kita akan buat lagi sebelum Ramadan kali ini berakhir,” tambah beliau lagi.


Tag:

Artikel Berkaitan