• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bufet Ramadan Tetap Dapat Sambutan Walaupun Harga Meningkat

KUALA NERUS, 4 April – Sambutan sebilangan umat Islam terhadap pakej bufet Ramadan yang ditawarkan oleh hotel pada tahun ini masih menggalakkan meskipun berlaku peningkatan harga.

Pengurus Besar Raia Hotel & Convention Centre Terengganu, Engku Morris Engku Hussin berkata, pembelian pakej bufet Ramadan daripada orang ramai sehingga kini amat menggalakkan seperti tahun sebelumnya.

“Harga bufet Ramadan ditawarkan sebelum ini adalah RM55 dan kini meningkat kepada RM70 bagi seorang dewasa. 

“Setakat ini kita sudah menerima RM30,000 tempahan berbuka puasa melalui jualan baucer pembelian awal iaitu RM56 seorang dan dijangka ia akan meningkat selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bagi meraikan kakitangan dan 26 anak yatim Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai, Marang di sini malam Ahad.

Sementara itu Engku Morris berkata  Raia Hotel & Convention Centre Terengganu menyasarkan pendapatan lebih tinggi pada tahun ini melalui pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan susulan fasa peralihan negara ke endemik pada Jumaat lalu selain kehadiran kunjungan pelancong domestik.

Katanya, untuk mencapai sasaran itu,  pelbagai pakej istimewa untuk menarik kedatangan pengunjung termasuk tawaran pakej penginapan, dewan konvensyen dan makanan menanti pengunjung.