• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Bufet Ramadan:Pilih Ikut Kemampuan

HULU TERENGGANU, 2 April - Para pengguna perlu bijak berbelanja mengikut kemampuan dan memilih juadah buffet Ramadan yang sesuai dengan harga yang ditawarkan bagi menggelakkan tertipu dengan tawaran penganjur.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata pengguna berhak memilih mengikut kemampuan mereka  dan pihak KPDNHEP tidak boleh memantau harga setiap buffet yang ditawarkan.

"Pihak kami hanya boleh bertindak jika ada aduan daripada pengguna mengenai harga yang ditawarkan tidak sama dengan makanan yang diterima atau yang terdapat pada menu.

"Dalam masa yang sama, saya ingin nasihatkan kepada penganjur buffet Ramadan untuk tidak memanipulasi pengguna dengan tawaran-tawaran yang hebat," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), di perkarangan Masjid Kampung Telaga, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rosol turut memberi jaminan bekalan barangan runcit dan basah mencukupi bagi kegunaan orang ramai sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Tambah beliau, pihaknya sudah membuat pemantauan dan bekalan yang ada didapati mencukupi untuk keperluan pengguna di seluruh negeri walaupun dijangka berlaku permintaan yang lebih tinggi.

"KPDNHEP sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI), dalam menentukan hasil keluaran keperluan makanan dalam negara mencukupi.

"Pengguna tidak perlu bimbang dengan bekalan keperluan harian ini termasuk keperluan seperti minyak masak, tepung gandum dan sebagainya adalah mencukupi," ujarnya.