• 13 Apr 2024 | 4 Syawal 1445

'Bukan Diskriminasi Kaum’ - MB Terengganu Jawab Pemimpin DAP

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujud diskriminasi kaum berkait keberadaan komuniti etnik Melayu dalam perkhidmatan awam.

Menurut beliau, kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy adalah tidak tepat berdasarkan realiti semasa yang berlaku di bawah.

“Kita perlu melihat kepada realiti semasa, memohon jawatan dalam perkhidmatan itu bergantung kepada minat masing-masing, ada yang minat dan ada sebaliknya.  

“Saya percaya untuk membina negara kita ini khususnya melalui sektor perkhidmatan awam atau swasta kita memerlukan kerjasama oleh seluruh masyarakat dan kaum, tak kira bangsa apa.

"Jadi ia seharusnya tidak dijadikan sebagai isu perkauman, mana-mana kaum yang lain boleh memohon, tiada halangan, asalkan syarat-syarat seperti lulus SPM dipenuhi dan tidak mengambil perkara lain di luar syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi terbabit selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2022 (kali ke 42) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2021 dan Anugerah Sarjana Terengganu 2020 & 2021 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkenaan mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani penguasaan perkhidmatan awam oleh kaum Melayu.

Beliau dilapor berkata ia merupakan satu bentuk diskriminasi kaum dan tidak sepatutnya wujud di bawah konsep Masyarakat Madani.

“Kepimpinan baharu yang nampaknya berkembang maju di bawah konsep Masyarakat Madani tidak boleh sekadar memberi kata-kata kepada sifat berat sebelah dalam perkhidmatan awam.

“Agenda reformis di bawah Kerajaan Perpaduan mungkin tenggelam tetapi dengan PH sebagai peneraju, tidak lari daripada apa yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.


Tag: