• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Bukankah Ini Juga Pembangunan?'

BESUT, 27 Februari- Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Nurkhuzaini Ab Rahman menyifatkan pembangunan yang terbaik perlu mengambil kira keperluan rakyat, bukan hanya mencari gah semata-mata sehinggakan memberi bebanan kewangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata, salah satunya perlu dilihat adalah usaha kerajaan negeri meluluskan pembangunan 993 buah rumah untuk keperluan rakyat DUN Kota Putera memiliki rumah sendiri.

"Jambatan baru akan dibina dari Kampung Pengkalan Kubur ke Kampung Keluang sebagai jalan alternatif dan menjimatkan masa. Bukankah ini juga satu pembangunan?"

"Tidak perlu dipertikaikan tentang pembangunan projek mega, kerana kita lebih melihat kepada kepentingan keperluan rakyat dalam pemilikan tanah dan rumah serta jalan perhubungan yang baik.

"Pembangunan-Pembangunan ini, walaupun bukan projek mega, ia secara langsung akan membantu kewangan dan keselesaan rakyat untuk kehidupan sehari-hari," katanya sambil tidak menafikan projek-projek ekonomi yang diusahakan kerajaan negeri dari pelbagai sektor secara berterusan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Temu Murni anjuran Pemuda PAS Cawangan Pengkalan Kubur di Bukit Bubus, Jumaat lalu.

Program berkenaan dianjurkan bertujuan merapatkan ukhwah antara belia kawasan tersebut selain menyokong aktiviti riadah serta sukan-sukan setempat yang diadakan seperti Cubross dan sebagainya.