Jalur Gemilang
Berita :
Walimatulurus Perdana Ringankan Beban 19 Pasangan di Besut
Walimatulurus Perdana Ringankan Beban 19 Pasangan di Besut
Rohayati Ripin
29 minit yang lepas
25

BESUT, 15 November – Seramai 19 pasangan pengantin baharu dari Parlimen Besut menerima manfaat menerusi Program Walimatulurus Perdana 2026 yang membantu meringankan beban kewangan mereka dan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, program itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pasangan muda yang baru membina kehidupan berumah tangga.

Menurutnya, kesemua pasangan berkenaan merupakan sebahagian daripada 193 pasangan yang diraikan secara serentak di seluruh Terengganu.

“Program Walimatulurus Perdana ini bukan sahaja merapatkan silaturahim masyarakat, malah meringankan bebanan kewangan pasangan dan keluarga dalam meraikan pengantin baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Walimatulurus Perdana 2026 bagi Parlimen Besut di Dewan Merdeka, Kota Putera Square, Kampung Raja, di sini baru-baru ini.

Azbi berkata, usaha membantu pasangan muda turut diteruskan melalui kursus dan bengkel kekeluargaan serta keibubapaan yang disusun Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

Jelasnya, pengisian berkenaan penting bagi menyediakan pasangan menghadapi cabaran rumah tangga, selain memperkukuh institusi keluarga.

“Perkahwinan bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah manusia, tetapi merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipelihara dengan penuh kesabaran, keikhlasan dan kasih sayang.

“Hadapilah setiap cabaran bersama, pupuk komunikasi yang baik dan sentiasa bertolak ansur dengan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama,” ujarnya.

Tambah beliau, pembentukan keluarga yang kukuh selaras dengan hasrat Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan insan.

Beliau turut mendoakan agar semua pasangan berkenaan dikurniakan kebahagiaan rumah tangga serta zuriat soleh dan solehah.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan