• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

Buku RM1 Pada Pesta Buku @PPAT 2020


KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Harga lelongan buku latihan dan bacaan umum yang dijual serendah RM1 antara aktiviti yang mendapat sambutan menggalakkan pada Pesta Buku @PPAT (Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu) 2020 di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu Jalan Hiliran di sini.

Pada masa sama lebih 10,000 jenis buku dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM4 juta membabitkan pelbagai jenis bahan bacaan bermula pra sekolah hingga ke pengajian tinggi dan golongan profesional turut dijual dengan harga berpatutan kepada pengunjung.

Program anjuran PPAT itu berlangsung selama 7 hari, bermula hari ini dan berakhir 29 Februari depan.

Pelbagai aktiviti turut dianjurkan, antaranya teka berat buku, pertandingan mewarna, bercerita, permainan tradisional, persembahan silat dan busking.

Di samping itu, Bicara Buku Bersama penceramah selebriti, Ustazah Fatimah Syarha dan Dr Riduan Mohamad Nor serta ceramah agama oleh Ustaz Mohib Khouli.


Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan penulis terkenal seperti Amla Mat Rawi, Norkafizah Hashim, Cik Pae, Bonda Nor, Farizah Shamsudie, Hani Ehcan, Faridah Said dan Fayyad serta Beng Wong, penulis buku 'Silat Boy' 182 dan Cadis Robot.

Lebih 100,000 pengunjung terutama penggemar buku dijangka mengunjungi Pesta Buku @PPAT 2020 yang diadakan buat kali ketiga sejak 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, lebih 73 penerbit buku turut serta mempamer dan mempromosikan buku masing-masing.  


“Pengunjung sewajarnya mengambil peluang apa yang dianjurkan PPAT kerana pelbagai manfaat boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Buku @PPAT 2020 di PPAT, hari ini.

Sementara itu, pengunjung, Halimaton Saadah Umar, 40, dari Kuantan, Pahang berkata, dia yang juga penggemar buku tidak pernah ketinggalan mengunjungi pesta buku walau di mana sahaja ia diadakan.

"Saya bersama suami dan tiga anak berusia antara enam hingga 11 tahun bertolak dari Kuantan jam 8 pagi dan sangat berpuas hati dengan pelbagai jenis buku yang dipamerkan.

"Kesempatan ini kami membeli pelbagai buku termasuk keperluan anak selain beberapa buku ilmiah dan agama," katanya.


Tag: