• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Buletin Rhu Rendang, Rujukan Dan Sumber Maklumat Rakyat

MARANG, 12 November - Buletin yang dikeluarkan Pejabat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjadi rujukan dan sumber maklumat rakyat di kawasan terbabit.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria berkata, buletin itu perlu disebarkan kepada segenap lapisan masyarakat supaya mereka tidak ketinggalan dlama mendepani isu semasa yang dilakukan oleh kerajaan negeri lebih-lebih lagi di Rhu Rendang.

"Dalam buletin ini, semua maklumat berkaitan pembangunan, kerja-kerja menaik taraf dan aktiviti kebajikan yang dilakukan daripada pihak wakil rakyat kepada komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja selesai program edaran risalah buletin Rhu Rendang di kawasan Pasar Pagi Bandar Marang, semalam.

Menurutnya lagi, Pusat Khidmat akan terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat tanpa pilih kasih dan mengikut keutamaan semasa berdasarkan aduan yang diterima.

"Dengan program sebaran seperti ini, berlaku komunikasi dua hala terutamanya apabila rakyat sendiri mendapat maklumat berkenaan.

"Sebagai perantara kepada kerajaan negeri, kita akui maklumat tentang keadaan rakyat yang memerlukan bantuan tidak meluas atau tidak sampai di peringkat kami.

"Jadi masyarakat juga perlu berkerjasama dan jangan malu-malu untuk datang mengadu di Pusat Khidmat, seperti kebiasaannya aduan diterima melalui maklumat daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Sementara itu, program ini juga menjadi rujukan dua hala apabila kita berpeluang mendengar sendiri pendapat dan rungutan daripada rakyat lebih-lebih lagi yang berniaga Pasar Pagi dalam menempuhi pandemik Covid-19 ini," tambahnya lagi.

Turut hadir adalah Ketua Lajnah Penerangan Dun Rhu Rendang, Najmuddin Rani, Ketua Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Faridah Omar dan Pegawai Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Dun Rhu Rendang, Fakhruddin Zakaria.

 


Tag: