TEMERLOH, 28 Disember - Seorang buruh di Taman Mentakab Indah di sini kerugian hampir RM15,000 selepas pakaian dan barang kelengkapan rumah musnah ditenggelami banjir lumpur.
Mohd Khairul Anuar Sabudin, 33, berkata, dia tidak menyangka bah kali ini memberi kesan mendalam buat keluarga.
Katanya, ia berlaku sekelip mata, rumah dua tingkat miliknya ditenggelami air sehingga satu tingkat setengah.
"Sebelum kejadian saya telah membuat persediaan dengan menggalihkan semua barangan elektrik dan pakaian ke tingkat atas.
"Namun, kesemuanya musnah, tragedi yang menimpa ini menyebabkan semua barangan tersebut yang dianggarkan kira-kira RM15,000," katanya ketika ditemu Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pasca operasi pembersihan sukarelawan Terengganu semalam.
Menurut Khairul Anuar, tragedi itumerupakan kejadian kedua menimpanya tahun ini.
"Selama 20 tahun kami menetap di sini, inilah banjir yang paling teruk sekali," ujarnya.
Tambah bapa seorang anak itu, kebiasaannya air hanya mencecah paras lutut sahaja tetapi kali ini sangat berbeza.
"Air naik dengan sangat cepat sehingga kami mengambil tindakan sendiri untuk ke tempat selamat bagi menyelamatkan nyawa kami," katanya.