• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Cadang Bina Hospital APM- Mohd Redzuan

 


KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Pembinaan hospital khusus bagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan dicadangkan kepada pihak kerajaan sebagaimana hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ( Tugas-Tugas Khas), Dato' Seri Mohd Redzuan Yusof berkata ia sebagai penghargaan kepada lebih 2.2 juta sukarelawan APM yang berdaftar bagi mengenang jasa yang telah dicurahkan kepada masyarakat dan negara.

"Kita akan bawa kertas cadangan ini ke kabinet untuk dibentangkan, lagi cepat diangkat, lagi cepat dapat diulas.

"Tetapi ini cuma cadangan kalau Kabinet bersetuju Alhamdulillah, kerana ini menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap kebaikan dan manfaat yang patut diberikan kepada pasukan APM yang dilantik sebagai sukarelawan,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camellia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan ​​​​Wahab; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.

Terdahulu, upacara pemakaian pangkat dan penyampaian watikah Pegawai Kehormat, Pegawai Bersekutu dan Pegawai Pasukan Pertahanan Awam melibatkan seramai 34 orang terdiri daripada kalangan kumpulan akademik dan professional.

Dalam majlis berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ,  Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendahului penerimaan pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA) dan diikuti Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat yang menerima pangkat Kolonel Kehormat (PA).

Dalam pada itu, sebanyak RM4.1 juta telah diperuntukan bagi membeli 30 unit kenderaan pacuan empat roda bagi diagihkan ke negeri-negeri terjejas bencana  banjir seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Kedah.

Katanya, ia untuk pastikan tahap kesiapsiagaan APM lebih baik terutama menghadapi ancaman banjir yang akan datang.

“Tambahan aset ini merupakan proses yang berterusan bagi memastikan APM sentiasa berada dalam kesiapsiagaan sebaik mungkin.

“Banyak juga kenderaan lain yang perlu kita perbaharui termasuk ambulans misalnya bagi membolehkan kerja-kerja menguruskan bencana banjir di samping kecemasan lebih efektif dan efisien,” katanya.


Tag: