• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Cadang Bina Jalan dan Jambatan Ke Madrasah Darul Zahraa- Dr Mamad

HULU TERENGGANU, 11 November - Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membina infrastruktur jalan dan jambatan menghala ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri ,Dr Mamad Putih berkata, usaha telah dilakukan bagi mendapatkan infrastruktur berbentuk jalan dan jambatan ke madrasah ini.

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan dan kita cadangkan kepada JPS kerana belum ada jalan dan jambatan yang sebaiknya untuk digunakan ke Madrasah Darul Zahraa ini.

"Jambatan yang sedia ada bermasalah apabila hujan kerana ianya akan ditenggelami air sungai," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak cadangan jalan dan jambatan ke Madrasah Darul Zahraa milik Ustaz Muhammad Abdullah @ Ustaz Mad Kecik di Kampung Kuala Dura, Kuala Berang baru-baru ini.

Menurut beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Berang berkata kos kesemua ini kemungkinan menelan belanja dalam RM500 ribu.

"Jambatan sementara yang sedia ada, berada dalam kawasan tanah milik individu. Kita akan buat jalan sama ada jalan 'crusher run' dulu, atau jalan 'premix', yang dianggarkan bernilai sekitar RM500 ribu," katanya.

Turut hadir, Pegawai JPS Hulu Terengganu, Roslan, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Safari Abu, dan Guru Madrasah Nasrun Abdullah.