• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Cadangan Kenaikan Elaun Pembantu Tabika Kemas Kini Tunggu Kelulusan MOF

KUALA NERUS, 26 Jun - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kini sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu elaun yang diterima 10,000 pembantu taman bimbingan kanak-kanak (tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang masih di bawah paras gaji minimum.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB telahpun menghantar kertas kerja berkaitan dengan permohonan kenaikan elaun berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan  MOF.

"Hendak naikkan elaun itu kena ada kelulusan daripada MOF untuk dapatkan wang itu balik kepada kita(KPLB).Insha Allah kita dapat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan cadangan kenaikan elaun 10,000 pembantu tabika Kemas di sidang media Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Ketengah di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, setakat ini, 10,000 pembantu Tabika masih menerima elaun RM500 dan jumlah itu wajar dinaikkan ke tahap yang lebih baik.

Tambahnya lagi, kenaikan elaun tersebut perlu kerana jumlah yang diterima kumpulan berkenaan tidak lagi sesuai kerana mereka bertugas hampir sepenuh masa.

" Dahulu, mereka ini merupakan golongan sukarelawan yang masak di tabika pada waktu tengahari, bagaimanapun sekarang ini pembantu Kemas datang dari pagi hingga petang juga sehinggakan mereka boleh menggantikan guru yang bertugas sekiranya perlu," kata beliau.