• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cadangan Laksana Semula Sistem Bekerja Dari Rumah Diteliti

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Rentetan peningkatan kes jangkitan Covid-19 pihak kerajaan sedang meneliti untuk melaksanakan kembali dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi pegawai Perkhidmatan Awam  seramai 1.4 juta di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyerahkan kepada pihaknya bagi menentukan perkara berkenaan.

"Saya akan adakan perbincangan bersama jemaah menteri, tetapi setakat ini tiada keputusan ke arah itu cuma saya minta agar penjawat awam berhati-hati dan berwaspada agar kes tidak meningkat dalam kalangan penjawat awam.

"Penting untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard dan ikut apa jua arahan yang diberikan oleh pihak berwajib, mudah-mudahan kes ini tidak akan meningkat lagi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Terengganu Bersama KSN, di Sekolah Kebangsaan Bukit Bayas, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Ketua Pengarah JKDM, Dato' Abdul Latif Abdul Kadir.

Terdahulu ketika berucap, Mohd Zuki berharap agar semua masyarakat di negara ini mempercepatkan proses mendapatkan vaksin dan 'booster' bagi melandaikan kes Covid-19.

"Pihak kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memulihkan semula ekonomi dan pendapatan rakyat sekali gus kembali membina semula kehidupan yang lebih baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru kepada semua ketua jabatan dan anggota penjawat awam supaya sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik.

"Kerana rakyat bergantung kepada kita kalau kita lambat bertindak dan tidak menyegerakan keputusan yang dibuat oleh kerajaan maka rakyat tidak akan mendapat bantuan atau manfaat sebagaimana yang dijanjikan oleh oihak kerajaan.

"Jadi jangan sesekali kita mengambil kesempatan untuk menangguhkan apa jua arahan yang telah diberikan, berkerjalah di bawah semangat satu pasukan agar pekerjaan dapat dibuat dengan dengan cepat serta penting untuk sentiasa teliti, teratur dalam melakukan setiap pekerjaan.

"Perlu melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab seperti yang termaktub dalam perjanjian ketika mengangkat sumpah sebagai penjawat awam," ujarnya.


Tag: