• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

'Cadangan Rapatkan Saf Solat Telah Dikemukakan'

KUALA NERUS, 11 Disember - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengemukakan cadangan kepada pihak berwajib agar saf solat jemaah kembali dirapatkan.

Menurut Menterinya, Idris Ahmad, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti perkara itu dan pada ketika ini kebenaran masih belum diperolehi.

Katanya, pihaknya terpaksa akur dengan perkara tersebut demi kemaslahatan masyarakat namun akan terus berusaha untuk mencapai keputusan terbaik.

"Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ataupun agensi di bawah Hal Ehwal Agama tidak ada kuasa untuk memaksa mana-mana pihak bagi perkara ini, kerana ia juga tertakluk kepada bidang kuasa pihak agama negeri.

"Prosesnya adalah apabila ia telah dibincang, pihak saya akan mengarahkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk dikemukakan kepada pihak Yang diPertuan Agong, begitu juga dengan negeri yang lain, ia juga bergantung kepada bidang kuasa kerajaan negeri yang mana pandangan pihak MKN akan diutamakan.

"Mereka mempunyai pandangan sendiri, jadi kita kena hormat perkara ini, keputusan terakhir adalah tertakluk bidang kuasa di negeri itu sendiri, sebab itu kita tengok kapasiti masjid dan surau di setiap negeri berbeza, seperti di Terengganu jemaah dibenarkan hadir mengikut keluasan masjid," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, pada program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli : Musa'adah Asnaf dan Kuliah Subuh khasnya, di Masjid Tok Jembal, di sini, pada hari ini.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata bantuan yang disampaikan kepada 30 keluarga terpilih di kawasan masjid terbabit merupakan satu usaha yang berterusan pihak Yadim.

Ujarnya, melalui program berkenaan pihaknya dapat membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta mereka yang dikenalpasti memerlukan bantuan berkenaan.


Tag: