• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Cakna OKU Dan Warga Emas Ketika Banjir


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN - Kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas sewaktu musim tengkujuh perlu diutamakan, terutama berkaitan urusan permindahan ke tempat selamat.  

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, OKU  perlu dibantu semasa berlaku banjir agar urusan pemindahan ke pusat pemindahan banjir dapat disegerakan.

"Dahulukan mereka, jangan tunggu sehingga air naik ke paras yang tinggi kerana akan mengalami kesulitan.

"Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan terkena banjir harus memainkan peranan bagi memastikan golongan kurang upaya ini berpindah dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perjumpaan dan taklimat pengkalan hadapan Mukim Jengai, di Balai Raya Jongok Batu, pada Jumaat, 11 November.

Ghazali berkata, sebagai tindakan kesiapsiagaan, terlebih dahulu dikenalpasti golongan yang dikategorikan OKU, warga emas dan ibu mengandung.

"Apabila perkara ini tidak diberi perhatian maka nanti apabila berlakunya bencana banjir, suasana akan menjadi kelam kabut, pastinya golongan yang sepatutnya dibantu dan diberi keutamaan akan keciciran," katanya lagi.

Tambah Ghazali lagi, di pusat pemindahan banjir itu nanti pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) akan memberi tumpuan khusus kepada golongan yang perlu dibantu ini.

Turut hadir pada perjumpaan dan taklimat bersama wakil MPKK dari setiap kampung yang berada di Mukim Jengai itu ialah, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Naufal Yusoff, Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Imran Mohd Zanyuin, Penghulu Mukim Jengai, Mohd Khairul Nizam.

Perjumpaan dan taklimat kali pertama itu adalah bagi memperkemaskan kerangka kerja semasa menghadapi banjir.

Sehubungan itu, Penyelaras DUN Bukit Besi turut memaklumkan akan ada satu simulasi khas yang akan dijalankan bagi memberi latihan agar dapat menguruskan bencana banjir pada hari sebenar agar berjalan baik dan lancar.


Tag: