• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Calon PRU14 Terengganu Lulus Saringan SPRM

Menteri Besar menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Ihtifal Kesenian Islam Kemas Peringkat Negeri Terengganu 2018. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengesahkan semua senarai nama calon yang dipilih melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata senarai nama calon yang akan bertanding pada pilihanraya umum ke 14 (PRU14) di Terengganu telah pun dihantar kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Setakat ini, semua nama calon yang dihantar Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah lulus saringan SPRM...tiada masalah. Cuma senarai calonnya (muktamad) kena tunggu pengumuman Presiden," katanya.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi BN Negeri turut memaklumkan bahawa manifesto BN Terengganu telah siap dan sedia untuk diumumkan.




"Kita tunggu selepas majlis pengumuman manifesto BN peringkat Pusat, kemudian barulah kita mengumum manifesto untuk negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mahabbah IKIM FM & Universiti Sultan Zainal Abidin 2018: 'Untukmu Al Aqsa dan Rohingya' di perkarangan masjid universiti, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan manifesto BN Terengganu untuk pilihanraya umum kali ini namun memberi jaminan ia tetap memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat merangkumi semua aspek.

Pada PRU13, BN Terengganu menyenaraikan 18 perkara dalam manifestonya antaranya membina 10,000 unit rumah mampu milik, memberi peluang kepada rakyat memiliki tapak rumah atau tapak pertanian dan pajakan tanah individu dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.

BN Terengganu juga berjanji untuk membina tiga lagi sekolah menengah Imtiaz, masing-masing di Setiu, Marang dan Kuala Nerus bagi menjadikan satu daerah satu Imtiaz.



Sekolah Menengah Imtiaz ditubuhkan hasil kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Ahmad Razif berkata kesemua perkara dalam manifesto PRU13 telah pun dilaksanakan BN Terengganu.

-- BERNAMA

Tag: