• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Camper Rally Gathering Pecah Malaysia Book Of Records

KUALA TERENGGANU, 3 September - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berjaya menghimpunkan 250 campervan dan motorhome (CRM) dengan penglibatan lebih 700 ahli keluarga sempena program Camper Rally Gathering 2023 di Pulau Poh, Kenyir.

Penganjuran program selama tiga hari berakhir semalam itu mendapat kerjasama Persatuan Campervan & Motorhome Malaysia (PCMM) dan turut melibatkan penyertaan terbesar pemilik CRM Malaysia iaitu sebanyak 231 buah kenderaan rekreasi (RV), termasuk 12 dari Thailand, Jerman (6), sebuah dari United Kingdom. 

Jumlah itu berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Most Recreational Vehicle (RV) in a Rally Gathering, sekaligus memecahkan rekod tahun lalu di mana program sama diadakan di Taman Wetland Putrajaya yang membabitkan 122 RV. 

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, kerajaan negeri komited untuk mambangunkan kawasan RV di setiap daerah.

“Telah ada beberapa lokasi yang berpontensi dijadikan kawasan pelancongan RV seperti Pantai Peranginan Rhu 10, Setiu, Pulau Kekabu, Marang serta Pantai Teluk Kalong, Kemaman termasuk di Tasik Kenyir. 
 
“Keindahan dan keunikan lokasi di Terengganu merupakan kawasan tarikan pelancong sedia ada dan mempunyai nilai pelancongan semulajadi. 

“Dengan penambahan nilai tambah prasarana kemudahan RV ini. Kita yakin ia mampu menarik minat pelancong dari pelbagai segmentasi pelancong khasnya segmentasi pelancong berasaskan kekeluargaan yang kini menggunakan RV untuk melancong,” ujarnya. 

Menurut beliau, program berkonsepkan terbuka kepada orang awam itu juga memberikan peluang kepada pengunjung dan peminat RV untuk mengenali jenis-jenis RV, DIY RV serta turut berpeluang mengalami percutian dengan kenderaan rekreasi tersebut.