• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Cari Rezeki Sampingan Sehingga Pulau Dibuka Kembali

 

KUALA NERUS, 15 Ogos- Rata-rata penduduk Kampung Baru Pulau Redang di sini terpaksa menceburi bidang perniagaan baharu selepas sektor pelancongan sedia ada terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Mereka terpaksa bekerja demi memastikan kelangsungan hidup di samping bantuan kerajaan dan orang ramai.

Bagi suri rumah, Rosnani Deraman, 46, berkata, dia tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata apabila gaji suami Mad Nawi Muda, 56 yang bekerja di sebuah resort terpaksa dipotong sebanyak 50 peratus.

Justeru itu katanya, bagi meringankan beban suami, dia mengambil inisiatif membuat kuih- muih untuk dihantar ke gerai makan berhampiran bagi menampung perbelanjaan keluarga.

"Selama ini suami dibayar dengan gaji RM2,000 dan jumlah itu cukup untuk keperluan kami. Namun, pengurusan resort terpaksa memotong gaji dan menggilirkan kedatangan pekerja disebabkan pelancong tidak lagi ramai seperti dahulu.

"Jadi, kami faham situasi itu namun tidak berputus asa sebaliknya cuba mencari rezeki lain dengan menjual kuih pula.

" Secara purata jualan adalah antara RM60 hingga RM80 sehari, cukuplah untuk perbelanjaan sekeluarga," katanya.

Seorang bapa kepada enam anak, Mohd Nazri Yasin, 53 pula  terpaksa melakukan pekerjaan lain setelah industri pelancongan yang menjadi sumber rezeki selama ini terhenti sementara akibat pandemik tersebut.

Katanya, dia menjadi seorang nelayan walaupun tidak mahir dalam bidang tersebut  setelah diarahkan pengurusan hotel mengambil cuti tanpa gaji antara 10 hingga 14 hari setiap bulan.

"Dulu gaji RM1,500 sekarang hasil tangkapan ikan ni dapatlah RM500 hingga RM750 sebab ada sakit jantung jadi tidak boleh lakukan kerja berat..mujurlah banyak bantuan makanan kering diterima dari pelbagai pihak.

"Saya sangat berharap industri pelancongan akan pulih dalam masa terdekat," ujarnya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan bantuan 'Ganu Eco Charity' di sini.

Sebanyak satu tan metrik barangan keperluan 'Ganu Eco Charity' diserahkan oleh Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu yang menyediakan kemudahan logistik melalui kapal penyelidikan RV Discovery ke Pulau Redang.

Presiden MyCAS Dr Noor Zaitun Yahaya berkata suntikan dana sebanyak RM210,000 itu disumbangkan oleh Yayasan Hasanah, iaitu yayasan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang memberi manfaat kepada 1,500 penduduk memerlukan.

"Agihan 1,500 pek makanan dan kit kebersihan itu telah diserahkan di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Pulau Redang adalah lokasi terakhir sumbangan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Pulau Redang Maarop Ismail berkata bantuan diberi sangat menceriakan penduduk di Pulau Redang.

"Kunjungan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan wakil agensi kerajaan yang menyantuni penduduk juga membuktikan masih ramai yang prihatin dengan nasib yang melanda penduduk yang rata-rata bergantung dengan sektor pelancongan," jelasnya.