• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

CCCC Dimohon Mudahkan Syarat Pemberian Kontrak Projek ECRL

KUALA TERENGGANU, 2 September – Kerajaan negeri memohon China Communications Construction Company Ltd (CCCC) supaya mempertimbangkan syarat pemberian kontrak kepada syarikat tempatan bagi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelaksanaan projek ECRL diuruskan CCCC dan RM3 bilion daripada keseluruhan RM7 bilion projek di Terengganu ini adalah untuk syarikat tempatan. 

"Walaupun begitu kita sedar untuk syarikat-syarikat kecil sama ada di pihak kerajaan negeri atau syarikat anak-anak negeri Terengganu di luar konsortium sukar untuk mendapat sebarang kerja projek ECRL ini kerana syarat-syaratnya yang ketat.

“Kita juga sedar bahawa CCCC mempunyai kaedah pemberian kontrak yang ketat dan juga sukar untuk dipenuhi syarikat tempatan. 

“Dalam pada masa yang sama, mereka harus faham dengan keadaan di Malaysia ini di mana keterlibatan syarikat tempatan ini membuka ruang kepada kami untuk terlibat bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan syarikat tetapi juga ‘its a good learning process’ kepada syarikat di Malaysia ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Pembentukan Konsortium antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd dan MMC Engineering Sdn Bhd dengan P-Excell Management Sdn Bhd Bagi Projek ECRL di Dewan Gamelan 3, Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Katanya lagi,  walaupun pihak CCCC meletakkan syarat yang ketat dan sebagainya tetapi diminta  supaya mereka dapat mempertimbangkan aspek lokaliti di negeri Terengganu.

“Syarikat yang berada di Terengganu ini adalah anak tempatan, kami berada di sini, sedangkan projek dilaksanakan orang luar, tentulah kita rasa tidak berpuas hati dengan keadaan itu jadi kita minta CCCC walaupun ada syarat yang ketat tetapi boleh mempertimbangkan dengan konsortium ini untuk mendapatkan projek ini.

“Oleh kerana itu, kita membentuk konsortium ini supaya ada kekuatan saling boleh bantu-membantu dan supaya kita dapat ‘push our standard higher’.

“Jadi ia akan membuka lebih peluang,  tak kata gerenti akan dapat tetapi  berharap akan memberi ‘advantage’ kepada kita dan boleh menunjukkan seriusnya konsortium ini dan juga kita akan bersama dengan syarikat di negeri terengganu untuk sama-sama membida ECRL,” ujarnya.


Tag: