• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama

BESUT, 2 November - Orang ramai perlu menjadi 'mata dan telinga' polis dalam usaha mencegah jenayah yang berlaku di sekitar kawasan mereka.

Pegawai Penyelaras Dun Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tidak dinafikan tanggungjawab memerangi jenayah adalah tugas utama PDRM, namun tanpa kerjasama dan sokongan masyarakat, usaha itu sukar dipenuhi.

"Setiap kelompok masyarakat harus bertanggungjawab mengatasi masalah jenayah ditempat sendiri kerana tanggungjawab bagi membendung masalah jenayah yang berlaku adalah tanggungjawab bersama.

"Masyarakat juga bertanggungjawab untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat dimana mereka perlu bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus membantu mencegah jenayah dan tampil ke hadapan dalam pelbagai kaedah ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Sivik Gong Nering, Jerteh, baru-baru ini.

Sementara itu, Wan Azhar berharap persatuan itu terus maju ke hadapan dan saling berdaya saing bagi membentuk persekitaran yang harmoni.

 

 


Tag: