KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Restoran makanan segera Chicken Cottage yang juga milik anak syarikat kerajaan Terengganu terus melebarkan sayap pemasarannya dengan pembukaan empat lagi cawangan baharu di Afrika Timur tahun ini.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, cawangan sulung di negara itu dijangka memulakan operasinya pada April ini di Nairobi, Kenya.
“Tiga lagi cawangan akan dibuka secara berperingkat di Rwanda, Tanzania dan Uganda,”katanya kepada pemberita.
Tambah beliau, Chicken Cottage yang memulakan operasi di Wembley pada 1994 semakin kukuh dalam industri restoran makanan segera global menerusi menu halal berkualiti tinggi terutama ayam panggang dan goreng.
“Sehingga kini Chicken Cottage yang berpangkalan di London, United Kingdom mempunyai keseluruhan 65 cawangan dengan 57 daripadanya di negara berkenaan diikuti masing-masing dua di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Nigeria manakala Pakistan (empat).
“Di samping itu, kita turut menyasarkan untuk menambah 10 lagi cawangan baharu di United Kingdom dengan masing-masing lima pada tahun ini disusuli bakinya pada 2023,” ujarnya lagi.
Menurut Burhanuddin Hilmi, sepanjang tahun lalu, Chicken Cottage berjaya meraih keuntungan sebanyak RM5.3 juta.
Sementara itu, Pengerusi Express Kitchen Ltd., Abdinasir Ali Hassan berkata, keunikan sajian ayam yang diperkenalkan Chicken Cottage mampu memikat pelanggan di rantau berkenaan.
Express Kitchen Ltd. milik AAH Limited merupakan pemegang saham terbesar dalam Kumpulan Petroleum Hass yang mengendalikan lebih 150 stesen minyak di 10 negara di Afrika.